Wednesday, February 10, 2010

Kemuncak Piala MB..

Tepoh A, Seberang Takir B mara akhir

Dua pasukan bola sepak Parlimen Kuala Nerus mara peringkat negeri Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri Besar yang dijadualkan berlangsung Mac depan. Dua pasukan berkenaan adalah pasukan Tepoh A dan Seberang Takir B.

Pada kejohanan peringkat Parlimen, sebanyak lapan pasukan iaitu dua pasukan pilihan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerus berentap.

Empat pasukan terbaik dapat meneruskan ke peringkat separuh akhir iaitu Wakaf Tengah,Bukit Tunggal,Tepoh A, Seb. Takir B.
Namun, Tepoh A dan Seberang Takir B lebih menyerlah: apabila berjaya membenam pasukan lain untuk terus mara ke peringkat lebih tinggi.

Pengerusi Biro Sukan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Mohd Khairuldin Majid berkata, pasukan yang terpilih diharap mampu menggalas cabaran meraih juara pada peringkat negeri.

“Memang pasukan yang terpilih adalah pasukan terhebat di Parlimen ini. Justeru, dengan peluang diberikan, kami harap pemain kedua-dua pasukan dapat menghadapi perlawanan peringkat negeri dengan bersungguh-sungguh sehingga mampu menjadi juara,” katanya.

Menurutnya, dengan persembahan ditunjukkan pada peringkat Parlimen, pihaknya yakin pasukan pilihan berkenaan mampu memberi saingan hebat, sekali gus muncul juara peringkat Parlimen.

“Jika pemain kekal de-ngan kecergasan dan stamina ditunjukkan, saya yakin mereka mampu menyerlah,” katanya.

Perlawanan akhir peringkat Parlimen antara kedua-dua pasukan akan berlangsung Sabtu ini.

Johan menerima tunai RM1,500, naib johan RM1,000, tempat ketiga RM700 dan tempat keempat RM500.

Hadiah disampaikan Ahli Parlimen Kuala Nerus merangkap Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri.

1 comment: